Kau
ingat dengan muka kesian kau tu boleh cairkan hati aku? Hah?! Bawa dia pergi,
benci aku tengok muka dia lama-lama. Hapuskan dia..” Sekejapan itu juga aku diseret dan dihumban ke
tempat yang aku sendiri tidak ketahui di mana.
“Ibu! Ibu! Tengok tu ada orang dekat dalam parit besar
tu. Baju dia koyak-koyak, badan dia pun luka-luka ibu.” Teriak seorang anak
kecil pada ibunya. Wanita tersebut pantas meluru ke arah yang dimaksudkan anaknya.
“Astaghfirullahala’azim.. Nadiah panggil mak usu cepat, parah kecederaan dia
ni. Tak boleh biarkan macam ni saja, kena bawa ke hospital. Mengucap dik..mengucap..ingat
Allah..Dia Maha Mengetahui..” Setitis air mata keinsafan gugur dari tubir mata
wanita tersebut kerana melihat azabnya saat malaikat Izrail mencabut nyawa
manusia.
“Ya
Allah, betapa besarnya azab yang Kau berikan padaku. Ampunilah segala dosaku Ya
Rabb..” Teringat daku pada nasihat yang ayah titipkan padaku dahulu.
Ayah..Betapa aku amat merinduimu.
***********
“Nak, hidup kita di dunia ini penuh duri
dan ranjau. Allah SWT mengurniakan kita akal dan fikiran supaya kita dapat
berjihad di jalanNya. Semakin umur mu menginjak dewasa semakin ayah khuatir
akan keadaan dirimu apatah lagi sekiranya ketiadaan ayah disisimu lagi kelak.”
Aku biarkan saja nasihat ayah itu
berlalu pergi dibawa angin petang. Ayah memang begitu sikapnya. Suka sahaja
memberiku tazkirah percuma tanpa dipinta. Aku ini anak millennium berpendidikan
tinggi. Apa sahaja yang ada pada ayah? Segulung ijazah pun tiada, hanya berbekalkan
ilmu yang didapatinya di sekolah pondok dahulu masih lagi mahu mengatasi diriku
yang menuntut ilmu di menara gading ini? Aku bermonolog sendirian tatkala
mendengar kata-kata ayah itu.
Aku merupakan antara ribuan umat
manusia yang berjaya melanjutkan pelajaran di tanah asing. Pada waktu itu
diriku amat disanjung tinggi kerana mampu menjadi salah seorang delegasi
intelegensia supranasional yang dapat
mengharumkan nama Malaysia ke luar negara. Tidak dinafikan diriku adalah
seorang pelajar yang pintar dan cerdas di sekolah ditambah lagi dengan
kejayaanku meraih keputusan maha cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia sekali gus menginjakkan diriku ke persada kegemilangan.
Lantaran itu aku meneruskan
pengajian ku dalam bidang perubatan di National University of Ireland,
Galway. Selama enam tahun aku menetap di sana, pelbagai ragam manusia aku
temui. Aku berteman baik dengan seorang pelajar lelaki berbangsa Irish.
Hilang semua pedoman yang pernah ayah titipkan padaku dahulu. Sirna semua cahaya,
tertutup sudah pintu hatiku. Dia adalah segala-galanya bagiku. Sebut sahaja
tentang pub yang ada di kota Galway itu, dari yang jauh terceruk
hinggalah ke pub yang terbesar di sana kesemuanya telah aku jejaki.
“Maka pernahkah
kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, dan Allah
membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya dan Allah telah mengunci mati
pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya? Maka
siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat).
Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?”
(Q.S. Aj-Jaatsiyah, 45:23)
Bersekedudukan di antara lelaki dan wanita di sana
merupakan satu perkara remeh dan dianggap biasa. Bahkan ia menjadi satu budaya
yang menjadi ikutan remaja Islam di bumi Galway. Siapa yang mahu ambil
peduli? Adakah pihak Jabatan Agama Islam yang akan menyerbu seperti di negara
kita? Tidak sama sekali. Pernah pada satu hari seorang pelajar muslimat
menegurku kerana berpakaian mencolok mata.
“Saudari saya memohon maaf tetapi, sebagai seorang
muslim saya wajib menegur cara saudari berpakaian. Tidak manis dipandang
khususnya oleh lelaki ajnabi…” Belum sempat muslimat tersebut meneruskan
bicaranya lantas aku memintas.
“Hahaha…Kau nak menegur aku? Kau tu siapa? Mak aku ke
atau bapak aku? Hei! Kau nak berbalut satu badan kau punya pasal lah. Jangan
pula sibuk nak mengajar aku! Pantang betul aku. Shit!” Aku meninggalkan wanita
tersebut dalam keadaan terkesima kerana tengkinganku tadi. Namun aku terdengar
mulutnya beristighfar ketikaku melewatinya.
“Dan (ingatlah)
ketika suatu umat di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang
Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat
keras?” Mereka menjawab: “Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawab)
kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertakwa.”
(Q.S. Al-A’raaf, 7:164)
Segala kenangan tersebut berlegar di ruang mindaku tika
ini. Ya Rabb..betapa besarnya dosaku padamu. Akan adakah pintu kemaafan untukku
Ya Allah. Terimakah Engkau akan taubat hambamu yang hina ini. Ayah… Sudah
terlalu lama aku tidak menyentuh tanganmu ayah. Pernah satu hari aku memarahi
ayah kerana lambat menghantarku ke sekolah kerana motor tuanya rosak di tengah
jalan. Ayah bersungguh-sungguh memohon kemaafan dariku namun hanya jelingan
tajam yang aku berikan pada wajah tua itu sebagai tanda ‘penghormatan’ kepada
ayah tatkala menjejaki pagar sekolah.
***********
“Doktor, lihat tu jarinya bergerak-gerak. Sepertinya
dia memberi respons terhadap bacaan saya.” Cupingku menangkap kata-kata wanita
itu. Siapakah dia insan berhati mulia itu? Di manakah aku?
“Alhamdulillah..dia sudah sedar. Puan tidak perlu
khuatir lagi akan keadaannya kerana kecederaannya semakin pulih. Namun, ia
mengambil masa untuk pulih sepenuhnya kerana dia mengalami gegaran otak akibat
hentakan yang kuat itu dahulu. Buat masa ini puan perlu banyak bersabar kerana
dia masih lagi dalam keadaan trauma dan kita tidak boleh memaksanya untuk
mengingati masa silam. Jika kita memaksanya berbuat demikian ia akan mengganggu
saraf tunjangnya dan akan membantutkan proses penyembuhan.” Terang lelaki
terbabit panjang lebar.
Kini, aku mulai sembuh dan mengingati tentang kejadian
itu. Ya, kejadian itu yang hampir meragut nyawaku tanpa sempat aku memohon
keampunan kepada Yang Maha Esa. Sungguh tidak terhitung dosaku selama ini.
Ayah..Ya, aku pernah mempunyai seorang ayah yang amat mengasihi ku pada waktu
dulu. Tetapi kini, di manakah ayah? Ya Tuhan…Aku tidak langsung dapat mengingat
dari mana asal usulku. Adakah ini suatu pembalasan dariMu atas keterlanjuranku
dahulu? Ya Rabb..Bantulah hambaMu ini.
“Kakak, kenapa kakak menangis? Haa…mesti rindu Nadiah
kan.. Janganlah menangis lagi, kan Nadiah ada ni..” Sungguh petah anak ini
berbicara luahku di dalam hati. Aku tersenyum melihat gelagatnya yang cuba
untuk memancing perhatianku.
“Nadiah buat apa? Kacau kakak ya?” soal satu suara.
“Ibu, mana ada Nadiah kacau kakak. Kakak ni menangis,
Nadiah cuma nak buat dia senyum. Haa…Tengok tu ibu, kan kakak dah senyum..”
Wanita itu turut tersenyum melihat gelagat anaknya itu. Di dalam hatinya pasti
bersyukur kerana dianugerahi seorang anak yang pintar. Sungguh bertuah wanita
ini.
“Hawa, kenapa menangis ni? Sudahlah..barang yang lepas
usah dikenang. Kakak sudah maafkan kamu dari dahulu lagi. Anggap sahaja teguran
kakak semasa di Galway sebagai teguran dari seorang kakak kepada
adiknya. Walau pun kamu pernah mengeluarkan kata yang kurang enak, kakak anggap
ia sebagai satu cabaran bagi kakak untuk
memperbaiki diri ini. Tetapi, kakak bersyukur kerana dapat menemui kamu semula
dan melihat kamu berubah. Sungguh besar kekuasaanNya. Subhanallah..”
“Terima kasih kak kerana sudi memaafkan dan
menyelamatkan saya dahulu. Jika kakak tiada waktu itu sudah pasti saya tidak
bernafas seperti sekarang.. Saya wanita hina kak, kotor..Saya bekas perempuan
simpanan.. Hanya kerana saya mengandungkan anak penjahat itu, dia sanggup untuk
membunuh saya kak.. Kakak..saya rindu pada ayah. Sebelum saya menutup mata,
akak janji ya akan cari ayah saya.” Lantas aku memeluknya dan tersedu-sedan di
dalam dakapannya.
“Jangan begini Hawa. Kita sama-sama berusaha untuk
menjejaki ayah Hawa ya? Kakak sedia mambantu Hawa.” Ujar wanita mulia ini.
Hampir enam bulan aku cuba untuk
menjejaki ayah. Namun, usahaku bagaikan tidak bernoktah. Kakak begitu memahami
akan keadaan diriku ini yang sedang bergelut dengan maut . Dua bulan lalu aku
disahkan menghidapi penyakit leukemia tahap ketiga. Tiada lagi harapan untukku
sembuh seperti sediakala. Aku seakan telah berputus asa untuk meneruskan
pencarianku. Di setiap pelosok yang aku ingati aku cuba mencari. Berbekalkan
sedikit sahaja waktu yang tinggal untukku kini, aku teruskan jua perjuanganku.
Bujur lalu melintang patah, genggam bara api biar sampai jadi arang,
alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Itulah azamku.
“Assalammualaikum..Hawa, bagaimana keadaan kamu hari
ini? Kakak harap semakin baik. Cepat sembuh ya..Kakak rindu nak dengar suara
Hawa. Sunyi rumah tu bila tiada lagi gelak tawa kamu..Nadiah pun sedih tau
tengok kamu begini. Kami semua nak Hawa kuat dan tabah. Kakak ada sesuatu yang
istimewa untuk Hawa. Mesti Hawa suka kan nanti…”
“Hawa..” Gemersik suara itu memanggil namaku
“Hawa, ini ayah nak.. Buka mata kamu nak..Ayah
rindukan anak ayah.. Maafkan ayah nak..Ayah tak tahu tentang keadaan kamu.
Bukalah mata kamu Hawa..Katakanlah sesuatu untuk ayah dengari..”
“A..yah…
a..yahh.. ampun..kan Ha..wa ” bisikku perlahan…
“Mengucap nak..Ayah ampunkan semua dosa kamu, ayah
halalkan makan minum kamu selama ini. Kamu anak ayah. Ayah sayang kamu. Ayah
tidak sanggup melihat keadaan kamu begini.. Pergilah nak dengan tenang..” Sendu
tangisan mulai bergema di ruangan kamar. Mentari juga seakan pilu untuk
memancarkan sinarnya pada pagi Jumaat hari ke 12 umat Islam menunaikan rukun
Islam ketiga.
“Innalillahiwainnaillaihiraji’un…”
“Dan mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian
kembalilah bertaubat kepada-Nya, sesungguhnya Tuhanku Maha Penyayang, Maha
Pengasih”
(Q.S Hud 11:90)
No comments:
Post a Comment